Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Keadaan persekitaran sebuah kilang menghasilkan pau dan dimsum di Medan Melor Selatan, di sini sangat jijik dan layak beroperasi.

Pemeriksaan dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Op Tegar turut mendapati pemilik melakukan pelbagai kesalahan besar dalam aspek kebersihan.

Tinjauan ketika operasi mendapati peralatan yang digunakan dalam keadaan amat kotor dan berkeladak dengan persekitaran kilang itu bersawang, selain tiga ekor anjing yang dilepaskan begitu sahaja di dalam premis.

Dalam pada itu, terdapat juga daging khinzir yang dipercayai dijadikan inti pau dan dimsum yang diletakkan berhampiran tandas. Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pelbagai kesalahan dikesan ke atas kilang yang beroperasi sejak 10 tahun itu apabila pemiliknya gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

"Pertamanya, menjadikan kawasan kediaman sebagai kilang memproses makanan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu, pemilik juga melakukan kesalahan besar dalam aspek kebersihan dengan pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dalam proses penyediaan makanan, termasuk membiarkan tiga anjing berkeliaran.

"Kita juga turut menemui najis tikus, lipas dan lalat di kawasan memproses makanan serta stor penyimpanan bahan mentah di kilang itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, berikutan kesalahan yang dilakukan itu pihaknya mengambil tindakan menutup kilang berkenaan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Kita turut mengeluarkan tiga notis di bawah Peraturan 32(1)(b) dan Peraturan 35(6) Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang bernilai RM2,500 ke atas kilang itu.

"Kilang itu pernah diambil tindakan penutupan pada 2019, malangnya ia masih berada dalam keadaan sama yang sepatutnya sudah tidak layak untuk beroperasi," katanya.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, pihaknya turut mengeluarkan lima notis kompaun bernilai RM2,900 terhadap sebuah kilang memproses bebola ikan di Raja Uda, di sini yang beroperasi sejak 20 tahun lalu kerana pemiliknya gagal mematuhi PJKM.

"Pemeriksaan di kilang ini mendapati pekerja tidak memakai PPE yang sempurna iaitu tidak memakai sarung tangan ketika mengendalikan produk bebola ikan, selain proses penyediaan produk juga mendukacitakan.

"Kita khuatir tangan pekerja yang mengendalikan produk itu mengalami ekzema (masalah kulit) apabila terdedah lama di dalam air yang secara tidak langsung juga boleh mengundang bahaya kepada pengguna produk itu yang boleh menyebabkan berlakunya keracunan makanan," katanya.

Semasa pemeriksaan itu, terdapat produk bebola yang didapati jatuh ke lantai dikutip semula pekerja kilang itu yang kemudian dibasuh seterusnya dimasukkan ke dalam mesin pemprosesan.

Mohd Wazir berkata, secara keseluruhan kedua-dua premis itu menggajikan sebahagian besar warga asing yang berasal dari beberapa negara termasuk Myanmar dan Indonesia.

"Kedua-dua produk itu dipercayai untuk pasaran sekitar Butterworth dengan tidak terdapat logo halal dan logo MESTI," katanya.

Operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu turut disertai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang mengeluarkan kompaun RM2,000 dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang yang mengeluarkan kompaun RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 3:20 PM