Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua kilang memproses produk belacan tradisional di Sungai Puyu dan tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, diarah tutup dua minggu selepas serbuan mendapati kedua-dua premis berkenaan berada dalam keadaan kotor.

Serbuan jam 10 pagi yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) itu menemui najis tikus dalam stor penyimpanan kedua-dua produk berkenaan.

Malah, tinjauan di kilang tauhu mendapati, produk berkenaan diletakkan di tempat tidak sesuai, manakala di kilang belacan pula lebih mengejutkan apabila terdapat pekerja seakan-akan memijak produk berkenaan yang hanya dijemur di atas lantai.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya bersama bahagian pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyerbu kedua-dua premis itu hasil risikan dijalankan sejak sebulan lalu.

Katanya, pada serbuan pertama membabitkan kilang memproses produk tauhu, persekitarannya berada pada tahap kurang memuaskan dengan pengurusan mengabaikan penjagaan kebersihan dalam mengendalikan makanan yang dikeluarkan, selain ada pekerja yang tidak mendapatkan suntikan tifoid.

PENGUATKUASA BKKM Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menunjukkan najis tikus yang ditemui ketika melakukan pemeriksaan. FOTO Danial Saad
PENGUATKUASA BKKM Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menunjukkan najis tikus yang ditemui ketika melakukan pemeriksaan. FOTO Danial Saad

"Perkara sama turut berlaku di kilang belasan yang mana kami dapati persekitarannya tidak bersih, peralatan memproses kotor termasuk pekerja tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang sesuai untuk mengendalikan produk.

"Dalam pada itu, pelabelan dan penggunaan logo halal pada produk belacan juga didapati meragukan," katanya ditemui selepas operasi berkenaan.

Mohd Wazir berkata, pihaknya sebelum itu pernah menyerbu kilang tauhu terbabit dua bulan lalu bagi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Kilang tauhu ini beroperasi sejak 10 tahun lalu dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

"Bagaimanapun, kilang belacan itu didapati beroperasi tanpa lesen sejak lima tahun lalu dengan berselindung di sebalik kilang memproses gaharu," katanya.

Jelasnya, pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun berjumlah RM12,000 dalam operasi berkenaan.

"Selain itu, kita turut menutup kedua-dua premis berkenaan selama dua minggu bermula hari ini mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk kerja-kerja pembersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 4:04 PM