Keadaan rumah yang dihempap pokok di Kampung Talas. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan rumah yang dihempap pokok di Kampung Talas. FOTO Ihsan Bomba
Junaidi Ladjana


WANITA cedera selepas rumahnya dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Talas, Jalan Marak Parak, Kota Marudu hari ini.

Mangsa Mailon Asangan, 51, cedera di kepala dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan 2.56 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dikerah ke lokasi menggunakan sebuah jentera bersama lapan anggota.

“Sebaik tiba, sebuah rumah dihempap pokok dan merosakkan bahagian bumbung rumah berkenaan.

“Terdapat seorang wanita cedera di kepala dan dirawat oleh pasukan bomba,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian memotong, mengalihkan dan membuang pokok yang tumbang itu.

“Pasukan bomba mengambil masa 35 minit bagi operasi menyelamat.

“Seterusnya pasukan bomba membuat pemeriksaan sekitar lokasi bagi memastikan kawasan berkenaan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 8:07 PM