POKOK tumbang yang menghempap beberapa kenderaan di Jalan PJU 5/15, Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
POKOK tumbang yang menghempap beberapa kenderaan di Jalan PJU 5/15, Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Hujan lebat dan ribut petir petang sekitar daerah ini, hari ini menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menghempap kereta serta menghalang lalu lintas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian mulai jam 3.25 petang.

"Beberapa anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7 dan BBP Damansara kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Terdapat sebatang pokok yang menghempap lima kereta membabitkan Perodua Axia, Proton Saga, Nissan Almera, Honda City dan Honda City Hatchback di Jalan PJU 5/15, Kota Damansara.

"Semua kenderaan itu sedang di parkir ketika kejadian dan tiada mangsa yang dilaporkan cedera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, terdapat juga kejadian pokok tumbang di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, namun tidak membabitkan mangsa.

"Kejadian itu membabitkan tujuh pokok yang tumbang dan menghalang jalan raya.

"Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang sedang giat dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 8:30 PM