POKOK tumbang yang menghempap kereta dan van di Kepong. FOTO ihsan bomba.
POKOK tumbang yang menghempap kereta dan van di Kepong. FOTO ihsan bomba.
Muhaamad Hafis Nawawi


BEBERAPA laluan dan kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan pokok tumbang berikutan hujan lebat sejak 4 petang hari ini.

Antara laluan terjejas adalah Jalan Kuching, Jalan Segambut Dalam, Jalan Maharajalela, Jalan Melaka, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Imbi.

Malah, hujan lebat turut menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan dan menghempap kereta.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat kejadian banjir kilat dan pokok tumbang di beberapa kawasan.

Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan dikejarkan ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda selepas menerima laporan terdapat pokok tumbang.

"Jentera tiba pada 5.22 petang dan mendapati sebuah kereta Perodua Axia dihempap pokok tumbang.

"Selain itu, seorang pegawai dan lima anggota dari BBP Jinjang dikejarkan Taman Pusat Kepong selepas menerima maklumat pokok tumbang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba pada 5.29 petang pokok itu didapati menghempap kereta Proton Saga dan sebuah van.

Katanya, insiden pokok tumbang turut berlaku di Taman Tun Dr Ismail yang menghempap dapur rumah, namun tiada mangsa terbabit.

"Sebatang pokok durian pula tumbang di Jalan 82/26 Taman Sri Rampai dan sebatang lagi pokok tumbang di Jalan Penchala 12, Sungai Penchala serta di hadapan Masjid Ububiah, Jalan Segambut Dalam.

"Kawasan hadapan masjid terbabit turut dilanda banjir kilat sedalam 0.3 meter namun tiada mangsa terbabit.

"Anggota kami terus memantau dan memastikan keselamatan di lokasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 8:09 PM