Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin melihat UAV yang dibangunkan Deftech ketika berkenaan melawat pameran DSA dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia). FOTO Asyraf Hamzah
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin melihat UAV yang dibangunkan Deftech ketika berkenaan melawat pameran DSA dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia). FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pesawat udara tanpa pemandu (UAV) pertama di Malaysia yang direka dan dibangunkan secara tempatan diperkenalkan DRB-HICOM Defence Tecnologies Sdn Bhd (Deftech).

UAV taktikal itu mampu melaksanakan operasi kompleks dan dron autonomi yang berkebolehan mengakses kawasan yang sukar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, teknologi autonomi seperti UAV atau dron dapat melipat gandakan keupayaan pasukan pertahanan dan keselamatan.

"Ia menyediakan platform yang selamat dalam mengendalikan apa jua situasi atau persekitaran yang bahaya dan mencabar,"katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM), Datuk Seri Asghar Khan Goriman Khan merasmikan UAV berkenaan ketika membuat lawatan di reruai pameran Deftech, di sini.

Fazley berkata, pesawat ini adalah UAV taktikal kendalian landasan yang mampu melaksanakan operasi yang kompleks, dron autonomi yang berkebolehan mengakses kawasan yang sukar, sekali gus meminimumkan risiko nyawa manunsia.

"UAV ini mempunyai kemampuan mengawasi ruang udara di waktu siang dan malam, serta berupaya beroperasi di pendalaman dan maritim.

"Ia direka bentuk mempunyai berat maksimum 120 kilogram (kg) untuk berlepas, ketahanan selama 10 jam dengan jarak 100 kilometer dan boleh menampung kapasiti muatan seberat 15 kg,"katanya.

Menurutnya, pembangunan UAV risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) ini adalah hasil daripada pengalaman yang dipelajari ketika bekerjasama dengan pasukan pertahanan dan keselamatan dalm mengendalikan dron untuk operasi yang berbeza.

"Penggunaan UAV oleh pihak tentera dan keselamatan awam pasti akan menjadi aset untuk keselamatan negara Malaysia, trutamanya untuk situasi kritikal dan sensitif masa.

"UAV ISR ini akan dipamerkan di DSA 2022 bermula hari ini sehingga berkahir pada 31 Mac," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 5:44 PM