Jasin: Kerajaan akan memantau penggunaan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) yang semakin meningkat berikutan dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan penerbangan di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penggunaaan dron yang tidak terkawal boleh mengganggu penerbangan helikopter, pesawat komersial dan pesawat ringan di ruang udara terutama di kawasan mempunyai aliran trafik udara yang sibuk seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah diarahkan untuk membuat kajian secara menyeluruh serta memastikan semua dron didaftarkan dan perlu mendapatkan kelulusan serta persetujuan daripada DCA terlebih dahulu sebelum melakukan penerbangan.

“Penguatkuasaan pendaftaran dron akan dilakukan secepat mungkin bertujuan memantau penggunaannya dan mengelakkan daripada berlakunya sebarang pencerobohan di ruang udara negara ini.

“Beberapa siri sesi penerangan dan dialog sedang giat dijalankan di peringkat negeri sebelum kita mengeluarkan sebarang peraturan keselamatan baru,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai 2015 di Aerodrome, Kampung Tasek, Sungai Rambai.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 8:20 AM