PEGAWAI KPDNHEP Kelantan membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap minyak masak paket satu kilogram bersubsidi bagi memastikan bekalan mencukupi serta tiada pembelian bersyarat yang dikenakan peniaga. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI KPDNHEP Kelantan membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap minyak masak paket satu kilogram bersubsidi bagi memastikan bekalan mencukupi serta tiada pembelian bersyarat yang dikenakan peniaga. FOTO Ihsan KPDNHEP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan tidak menerima aduan rasmi berhubung pembelian bersyarat minyak masak paket satu kilogram (kg) yang dikenakan peniaga di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata, setakat ini tiada aduan yang diterima daripada orang awam termasuk peniaga berkenaan pembelian bersyarat iaitu untuk belian minyak masak paket 1 kg bersubsidi perlu membeli beberapa kilogram gula terlebih dahulu.

Katanya, KPDNHEP Kelantan percaya perkara berkenaan mungkin berlaku akibat tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil langkah dengan menggunakan barang kawalan sebagai pelaris jualan.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan peniaga termasuk pemborong dan pembekal yang cuba mengenakan 'penjualan bersyarat' ini selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada dalam kalangan peniaga, pemborong atau pembekal yang terbabit dengan perlakuan itu," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, minyak masak paket yang dijual disasarkan untuk kegunaan isi rumah bagi memastikan lebih ramai pengguna dapat memperoleh atau membeli barang kawalan itu.

"Selain itu, peruncit dibenarkan untuk mengawal pembelian dengan had 3 kg bagi setiap pengguna.

"KPDNHEP Kelantan akan menjalankan siasatan sama ada bekalan minyak masak itu mempunyai kaitan dengan aktiviti menyorok bekalan atau penyeludupan," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap orang ramai yang dipaksa membeli minyak masak dengan bersyarat supaya menghubungi KPDNHEP bagi tindakan lanjut dan siasatan segera akan dijalankan.

Azanizam berkata, bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini mencukupi dan terkawal hasil pemantauan serta pemeriksaan pihak berkuasa bagi memastikan bekalan itu sentiasa berada di pasaran.

Katanya, pihaknya juga membuat pemantauan kepada pembungkus minyak masak supaya tidak berlaku penyelewengan bekalan.

Media sebelum ini melaporkan, segelintir peniaga di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah menetapkan syarat pembelian satu kg gula untuk membeli sekilogram minyak masak bersubsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 8:10 PM