KETUA Unit Kawalan Bekalan KPDNHEP Kelantan, Raja Zul Raja Yaacob (kiri) memeriksa barang kawalan yang dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP Kelantan
KETUA Unit Kawalan Bekalan KPDNHEP Kelantan, Raja Zul Raja Yaacob (kiri) memeriksa barang kawalan yang dirampas. FOTO ihsan KPDNHEP Kelantan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas minyak masak dan tepung gandum sebanyak 16,985 kilogram (kg) dalam operasi di Rantau Panjang di sini, kelmarin.

Operasi jam 10 pagi itu merampas tepung gandum bersubsidi paket satu kg sebanyak 10,100kg bernilai RM13,635 dan minyak masak 6,885kg berjumlah RM17,212.50 serta menyita sebuah lori dengan nilai keseluruhan lebih RM70,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP, Azanizam Affendi Juri berkata, operasi di sempadan itu dilakukan Unit Kawalan Bekalan selepas mengesyaki berlaku penyelewengan barang kawalan untuk dibawa ke negara jiran, Thailand.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui tepung gandum bersebelahan premis dan pemilik mengakui barang itu adalah miliknya disimpan di premis bersebelahan yang tidak dilesenkan.

“Pasukan serbuan turut membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori bernombor pendaftaran Malaysia yang berada di belakang premis dan menemui minyak masak bersubsidi.

“Pemilik premis berlesen adalah warga tempatan dan mendapatkan barang kawalan bersubsidi itu di Kelantan dan luar negeri termasuk Perak, Pulau Pinang dan Pahang.

“Barangan itu disyaki akan dibawa ke negara jiran. Bagi mengaburi penguatkuasa, pemilik menyimpan barang kawalan di alamat yang tidak dilesenkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 6:00 AM