Sebahagian daripada 1,290kg tepung gandum yang ditemui dalam sebuah rumah yang dijadikan transit sementara di Kampung Rahmat, Rantau Panjang, di sini, petang semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP
Sebahagian daripada 1,290kg tepung gandum yang ditemui dalam sebuah rumah yang dijadikan transit sementara di Kampung Rahmat, Rantau Panjang, di sini, petang semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Membeli dalam kuantiti sedikit secara berulang kali di premis runcit dan borong menjadi modus operandi kegiatan penyeludupan barang kawalan bersubsidi ke negara jiran.

Barangan yang dibeli itu kemudiannya akan disimpan di sebuah lokasi sebagai transit sebelum dibawa masuk ke Thailand menerusi jalan sungai.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, dalam serbuan terbaru petang semalam, pihaknya menemui 1,290 kilogram (kg) tepung gandum dan 833kg minyak masak yang disimpan dalam sebuah rumah serta dua kenderaan di Kampung Rahmat, Rantau Panjang, dekat sini.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah yang dijadikan tempat pengumpulan barang kawalan untuk transit sementara dalam operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bermula jam 4 petang.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui 500kg tepung gandum, manakala dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Pajero yang berada di lokasi berkenaan turut menyimpan 790 tepung gandum serta 833kg minyak masak paket bersubsidi.

"Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM3,824 manakala kenderaan yang disita pula bernilai RM30,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azanizam berkata, penyimpanan barang kawalan bersubsidi berkenaan dipercayai untuk diseludup ke Thailand kerana premis itu tiada sebarang lesen penyimpanan barang kawalan dan lokasinya juga berhampiran pangkalan haram.

Menurutnya, individu yang terbabit dalam kegiatan itu diberikan upah bagi setiap per kilogram yang dibeli secara runcit atau borong di premis sekitar Rantau Panjang secara berulang-ulang.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki dengan niat melakukan penyeludupan ke negara jiran melalui jalan sungai di sempadan negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 1,014 premis diperiksa sepanjang sembilan hari pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali bermula 9 November lalu dan berakhir semalam.

Beliau berkata, dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu pelanggaran peniaga menawarkan harga yang lebih tinggi seperti ditetapkan oleh kerajaan dicatatkan.

"Kes itu membabitkan dua premis runcit di Kuala Krai dan Tanah Merah yang mana hasil nilai rampasan adalah sebanyak RM556.

"Pemilik premis dikenakan dikompaun dengan kes pertama sebanyak RM250 manakala kes kedua pula RM100 dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM350," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 3:24 PM