GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lazada Malaysia memperluas aktiviti kebajikannya di bawah platform LazadaForGood dengan menawarkan lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada organisasi pilihan mereka, sehingga 31 Mac ini.

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia Darren Rajaratnam berkata rakyat Malaysia secara aktif boleh membuat sumbangan dengan selamat dan lancar menggunakan platform digital berkenaan, bagi menyokong usaha menyediakan keperluan untuk bantuan banjir dan pemulihan pascabencana, bantuan makanan, penjagaan paliatif, sokongan perubatan dan penjagaan kesihatan serta kebajikan haiwan.

Sumbangan berkenaan akan disalurkan ke organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti MERCY Malaysia, MyFundAction, Bulan Sabit Merah Malaysia, The Lost Food Project, Hospis Malaysia, SPCA, Islamic Relief Malaysia dan Unicef.

"Komitmen Lazada untuk mewujudkan perubahan positif dan mengekalkan impaknya masih teguh. Dalam kami meraikan pencapaian penting e-dagang dalam 10 tahun ini, Lazada berbangga dapat memanfaatkan kelebihan teknologi kami untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan penerima sumbangan secara langsung.

"Dengan LazadaForGood serta kepercayaan dan sokongan komuniti dan rakan NGO, kami dapat mewujudkan kesedaran dan menyokong kumpulan rentan secara aktif, menerusi kaedah yang bermakna," katanya dalam kenyataan.

Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di laman LazadaForGood https://s.lazada.com.my/s.eKYQu dan menambah barangan atau nilai sumbangan ke troli sebelum mendaftar keluar dan membayar barangan yang dipilih. (Sumbangan hendaklah dibuat tanpa kombinasi barangan fizikal kerana item ini adalah berbentuk digital dalam daftar keluar).

Sejurus sumbangan diterima, NGO terbabit akan mengagihkan produk dan dana yang disumbangkan kepada komuniti rentan.

"Setiap Ringgit adalah bernilai dan sumbangan tersebut akan memberi sokongan yang sangat diperlukan NGO dalam usaha mereka membantu komuniti rentan. Sekecil-kecil sumbangan akan membawa perubahan positif," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 9:41 PM