Sebahagian penerima sumbangan daripada inisiatif Lazada Teman You.
Sebahagian penerima sumbangan daripada inisiatif Lazada Teman You.

Kuala Lumpur: Lazada Malaysia menerusi inisiatif impak sosial Lazada Teman You telah menyumbangkan barangan keperluan asas seperti beras, makanan dalam tin, minyak masak, lampin pakai buang dan pelbagai keperluan lain yang bernilai lebih RM50,000, sebagai sebahagian daripada usaha pascabanjir demi membantu komuniti di Kelantan.

Sumbangan telah diagihkan kepada keluarga di daerah Pasir Puteh dan Bachok oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, dengan diiringi oleh Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pertumbuhan Pengguna dan Trafik, Lazada Malaysia, Rick Ting.

Ting berkata, musim tengkujuh telah reda sedikit, namun impak banjir masih ketara.

"Inisiatif bantuan banjir Lazada Teman You adalah selaras dengan fokus 'Empowering Communities' (Memperkasakan Komuniti) – salah satu teras utama ESG Lazada.

"Inisiatif ini diharapkan dapat menyumbang ke arah usaha pemulihan pascabanjir, khususnya bagi keluarga yang bertungkus lumus membina semula kehidupan mereka lantaran kehilangan dan kerosakan teruk harta

benda," katanya dalam kenyataan.

Lazada Teman You adalah kutipan derma amal yang digerakkan dengan kolaborasi bersama Bulan Sabit Merah Malaysia (responsMalaysia) demi mengumpul dana sebanyak RM100,000 yang akan disalurkan ke arah usaha membantu pengagihan barangan keperluan asas kepada komuniti di daerah yang dilanda banjir, khususnya di negeri Kelantan dan Johor.

Lazada akan turut memadankan sumbangan tersebut dengan dana tambahan sebanyak RM100,000 bagi membantu penerima sumbangan.

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan amal secara selamat dan terjamin bagi membantu komuniti yang terjejas dengan banjir boleh menderma sehingga 31 Januari 2023.

Untuk menderma, pergi ke aplikasi Lazada Malaysia dan taip 'Lazada Teman You' di ruangan carian di bahagian atas aplikasi berkenaan.

Pilih jumlah derma yang ingin disumbangkan, sama ada RM1, RM5, RM10, RM30, RM50 atau RM100 dan klik 'Beli Sekarang' untuk menderma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 7:17 PM