SAIFUDDIN  bersama Chow  menandatangani plak pada majlis perasmian Lazada Wecommerce 2019 Satellite Tradeshow, semalam.  FOTO  Khairul Helmy
SAIFUDDIN bersama Chow menandatangani plak pada majlis perasmian Lazada Wecommerce 2019 Satellite Tradeshow, semalam. FOTO Khairul Helmy
Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia (Lazada) menyaksikan peningkatan sehingga 45 peratus penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di platform e-dagang berkenaan bagi tempoh 12 bulan lalu.

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan penyelesaian dan latihan kepada PKS untuk mengoptimumkan perniagaan mereka.

“Kami turut mengadakan program latihan kepada PKS tempatan dan setakat ini ada kira-kira 35,000 PKS tempatan yang menawarkan produk di platform Lazada,” katanya selepas majlis kerjasama antara Lazada dan KPDNHEP di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow.

Menurutnya, Lazada dan KPDNHEP akan bekerjasama untuk melaksanakan beberapa inisiatif mempromosi dan meningkatkan kemahiran PKS tempatan melalui platform Lazada.

Antaranya, mengenal pasti dan bekerjasama dengan kementerian dalam mempromosi usahawan dan jenama tempatan di Lazada, mencipta kerangka jenama dan mempamerkan logo Beli Barangan Malaysia KPDNHEP sepanjang kempen jualan Lazada dan menganjurkan sesi latihan untuk meningkatkan kecekapan usahawan tempatan serta menggalakkan perkongsian pandangan dan data.

Sementara itu, Chow dalam ucapannya berkata, Lazada percaya penumpuan kepada perkembangan profesional dan pertumbuhan perniagaan pemain utama seperti usahawan sedia ada dan bakal usahawan akan meningkatkan ekosistem e-dagang dan memastikan kemampanan untuk masa depan.

Katanya, dengan taburan usahawan yang tinggi di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pulau Pinang, Lazada ingin meningkatkan usaha dalam memberi sokongan dan menganjurkan latihan kepada usahawan di kawasan lain termasuk di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:51 AM