PLATFORM Lazada menyediakan saluran terus untuk menjual hasil tanaman dalam talian.
PLATFORM Lazada menyediakan saluran terus untuk menjual hasil tanaman dalam talian.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

LAZADA Malaysia bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk mendigitalkan perniagaan usahawan tani tempatan menerusi program Onboarding Produk Agromakanan di Platform e-dagang.

Menerusi sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam pembangunan sektor pertanian negara, projek perintis itu bakal menyaksikan ratusan usahawan tani tempatan memulakan perjalanan mereka di platform e-dagang Lazada dalam usaha menyokong sektor pertanian negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Magnus Ekbom berkata, pendigitalan sektor itu amat penting untuk memastikan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri pertanian dapat mencapai kemampanan jangka panjang.

"Pengguna sekarang berusaha mengurangkan sentuhan fizikal dan membeli-belah dalam talian untuk barangan runcit dan keperluan kini menjadi kebiasaan.

"Menerusi kerjasama ini, kami berharap masyarakat pertanian dapat mendigitalkan perniagaan dan memindahkan produk mereka ke dalam talian dengan bantuan Lazada.

"Platform Lazada menyediakan saluran terus untuk menjual hasil tanaman dalam talian yang dihantar terus ke meja pengguna pada harga lebih baik, manakala pengguna boleh membeli daripada mereka dengan lebih cekap dan pada harga berpatutan serta usaha ini saling menguntungkan pengguna dan pengusaha pertanian," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan kerjasama Lazada, Fama akan menghubungkan rangkaian peladang mereka kepada platform e-dagang, malah usahawan tani yang baru menyertai platform bukan sahaja boleh belajar di Lazada University, malah dapat membantu mereka membuka gedung digital masing-masing.

Sebelum ini, Julai lalu, Lazada bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan MDEC untuk melancarkan inisiatif Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce untuk menyokong PKS dan produk tempatan. Inisiatif ini akan berterusan hingga 31 Disember 2021.

Usahawan tani yang menceburi dunia digital menerusi program Onboarding Produk Agromakanan Di Platform e-dagang juga layak menikmati tawaran daripada kempen Shop Malaysia Online termasuk baucar diskaun RM10 dengan perbelanjaan minimum RM100, Crazy Flash Sale dan Penghantaran Percuma Harian.

Lazada Malaysia tekad menggalakkan pendigitalan komuniti PKS tempatan dan akan terus berbuat demikian.

Untuk maklumat lanjut, layari https://lzd.co/FamaLazadaMY.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:15 AM