Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menyempurnakan perasmian Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG), di sini, hari ini. FOTO Ihsan RPO
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menyempurnakan perasmian Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG), di sini, hari ini. FOTO Ihsan RPO
Oleh Mohamed Farid Noh


Pasir Gudang: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menyempurnakan perasmian Stesen Janakuasa Southern Power Generation (SPG), di sini, hari ini.

Stesen janakuasa SPG itu turut dimasyhurkan sebagai Sultan Ibrahim Power Plant di Pasir Gudang, adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia menggunakan turbin gas berteknologi paling cekap dihasilkan oleh General Electric (GE).

Teknologi pembakaran bahan api gas aslinya mampu menghasilkan 60 peratus tenaga elektrik dan kecekapan turbin gas berteknologi tinggi ini mampu menyumbang kepada pengurangan jejak karbon.

SPG yang berkonsepkan kitar padu telah siap sepenuhnya dan memulakan operasi komersial pada 1 Januari tahun lalu.

Pembinaan SPG dengan kos RM4.7 bilion ini adalah gabungan usaha sama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SIPP Energy Sdn Bhd.

Ia menjadi satu mercu tanda pembangunan industri penjanaan elektrik di Johor dan selatan tanah air.

Dengan beroperasinya stesen ini, ia secara tidak langsung merancakkan dan menggalakkan lagi usaha pelaburan dari dalam dan luar negara.

Stesen ini juga menyediakan infrastruktur pembekalan tenaga elektrik yang mencukupi, berdaya harap serta stabil, sekaligus mampu menyakinkan pelabur untuk mengeluarkan modal menjalankan perniagaan di Johor.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim turut berkenan mengadakan lawatan ke SPG selepas perasmiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 12:19 PM