ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur membuat pemeriksaan terhadap barang tiruan berjenama yang dirampas dalam serbuan di empat premis di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur membuat pemeriksaan terhadap barang tiruan berjenama yang dirampas dalam serbuan di empat premis di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Empat premis di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Kenanga di sini, yang menjual barang berjenama tiruan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata, empat premis yang diserbu berkenaan membabitkan dua peruncit serta dua pemborong.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan hasil risikan dilakukan selama satu minggu di keempat-empat premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan di empat premis berkenaan, kami menyita sebanyak 626 barangan disyaki tiruan membabitkan beg, dompet, kasut, pakaian dan tali pinggang berjenama yang dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Jumlah sitaan barangan di keempat-empat premis berkenaan dianggarkan bernilai RM10,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Syarina berkata, sebuah premis pemborong juga didapati menjual barangan tiruan secara dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Dalam operasi ini, kami turut menahan dua wanita termasuk seorang warga Indonesia yang juga pekerja di premis berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Berdasarkan statistik kes harta intelek, sebanyak 23 kes dilaporkan membabitkan Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Hak Cipta 1987 bagi tempoh 1 Januari lalu hingga hari ini.

"Ia membabitkan sebanyak 25,000 barangan dianggarkan bernilai RM870,000, manakala enam individu ditahan berkaitan harta intelek menerusi Ops Jeriji 3.0 bagi tempoh sama," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Ia bertujuan bagi membanteras penjualan barangan tiruan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di negara ini terutama menjelang perayaan Aidilfitri yang lazim dengan penawaran pelbagai barang keperluan dan pakaian.

"Sempena sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) 2022, orang ramai diminta lebih berhati-hati dalam urus niaga dalam talian terutamanya membabitkan barang tiruan berjenama.

"Pada masa sama, jangan bersubahat dengan membeli barangan tiruan berjenama daripada peniaga tidak bertanggungjawab. Tanggungjawab melindungi hak harta intelek adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 3:06 PM