POLIS mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas pada 4.43 petang. FOTO Ihsan Bomba.
POLIS mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas pada 4.43 petang. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


REMAJA lelaki lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Tasik Widuri, Bukit Beruntung, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.27 petang.

“Difahamkan sebelum kejadian, mangsa Muhammad Ukail Raziq Waldan, 13, mandi di tasik itu bersama empat rakannya.

“Saksi yang juga rakan mangsa mendakwa mereka mandi di kawasan yang tidak dalam dan mangsa ditolak dua rakan yang bergurau.

“Bagaimanapun, saksi mendakwa mangsa tidak timbul selepas itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pasukan penyelamat tiba di lokasi memulakan pencarian dan mangsa ditemui pada 4.43 petang, sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

“Lokasi kejadian adalah tasik terbiar yang digunakan penduduk setempat sebagai kawasan rekreasi air,” katanya yang memaklumkan mangsa tinggal bersama bapa saudaranya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.26 petang dan 13 anggota termasuk daripada Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

“Operasi menyelamat segera dilakukan dan mayat mangsa ditemui pada jarak tujuk meter dari tebing tasik itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 7:11 PM