Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pendekatan kerajaan untuk menangani tuntutan waris Sultan Sulu disifatkan sebagai wajar apabila sudah membantah keputusan penimbangtara di Perancis.

Ketua Kluster Perundangan, Governans dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan timbang tara di Perancis sudah dibantah dan kerajaan sedang menunggu keputusan mahkamah negara berkenaan untuk mengenepikan keputusan timbang tara terbabit.

"Perlu diingatkan bahawa mahkamah di Sepanyol sudah menolak kes yang dibawa di timbang tara berhubung tuntutan waris Sultan Sulu berkenaan.

"Sama ada negara perlu membawa kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tertakluk jika ia akan memberi kebaikan kepada Malaysia atau sebaliknya.

"Membawa tuntutan ini ke ICJ bermakna membawa kerajaan Filipina ke kancah isu tuntutan ini sedangkan ia dibawa oleh waris Sultan Sulu atas dasar hak dalam undang-undang antarabangsa persendirian dan bukan isu undang-undang antarabangsa awam," katanya.

Minggu lalu, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis yang mengarahkan Malaysia membayar pampasan RM62.59 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah kerana ia tidak berlandaskan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, keputusan ditetapkan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah daripada aspek undang-undang.

Pada masa sama, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipetik berkata, Malaysia beberapa kali menegaskan tidak mengiktiraf mahu pun melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai antara yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 3:54 PM