Azalina Othman. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Azalina Othman. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Waris Sultan Sulu boleh membawa tuntutan mereka ke atas Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) jika mereka mempunyai bukti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu bukan isu komersial tetapi isu kedaulatan negara.

"Kenapa tidak pergi ke ICJ? Jika mempersoalkan isu sempadan wilayah ia bukan pada platform timbang tara komersial.

"Cabar kami dalam ICJ jika anda mendakwa anda layak, mempunyai bukti, pemetaan dan dokumen. Cabar kami dengan cara itu dan kami akan melawan anda sehingga selesai," ," katanya pada Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.

Azalina turut menyelar pihak kumpulan Sulu yang menuntut Sabah menggunakan taktik gerila dan menyalahgunakan proses timbang tara.

Beliau berkata, Malaysia tidak akan berdiam diri mengenai perkara itu dan Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan Malaysia serta melaksanakan tindakan undang-undang.

Bayaran tahunan sebanyak RM5,300 kepada keturunan Sultan Sulu sudah dihentikan oleh Malaysia selepas kumpulan bersenjata mendarat di Lahad Datu pada 2013 untuk menuntut kedaulatan ke atas Sabah.

Susulan itu, sebuah firma guaman di London, mewakili sekumpulan sembilan orang daripada kumpulan Sulu yang berpangkalan di Filipina, memfailkan beberapa siri saman undang-undang terhadap Kerajaan berikutan tuntutan timbang tara AS$15 bilion (RM66.63 bilion) yang diperoleh terhadap Malaysia.

Pada Februari tahun lalu, mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan terakhir Sultan Sulu.

Penimbang tara Gonzalo Stampa memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah sekarang.

Malaysia kemudiannya mencabar perintah timbang tara di Perancis dan Sepanyol.

Mahkamah Perancis memberikan perintah penangguhan terhadap anugerah itu, sementara menunggu keputusan mengenai dakwaan Malaysia bahawa perintah itu melanggar kedaulatannya ke atas Sabah.

Mahkamah Sepanyol awal tahun ini membatalkan pelantikan penimbang tara yang memberikan anugerah AS$15 bilion.

Dalam tindakan terbaru, keturunan Sulu itu cuba merampas tiga hartanah di Paris milik kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 3:10 PM