KEADAAN ladang ayam terbuka mengundang masalah lalat. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN ladang ayam terbuka mengundang masalah lalat. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: 'Sudah 30 tahun kami hadapi masalah lalat. Bayangkan, bila hendak makan nasi, tuang kicap mesti ada keluar lalat.'

Itu kata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Changkat Lobak, Alor Pongsu Ridzuan Zulkifli, 33, berkaitan masalah lalat yang dihadapi penduduk.

Beliau berkata, masalah lalat yang berlarutan berpunca daripada ladang terbuka yang diusahakan beberapa pengusaha.

"Masalah lalat ini tidak pernah selesai. Bayangkan, apabila pulang kerja, kami nak makan nasi. Tuang kicap saja, keluar lalat daripada dalam botol.

"Itu belum di kedai makan lagi. Ada kalanya orang luar yang datang hendak makan terpaksa membatalkan niat mereka kerana lalat terlalu banyak.

"Ia turut menjejaskan ekonomi pengusaha kedai makan. Begitu juga kenduri, kita sebagai tuan rumah malu dan kasihan kepada orang luar yang berkunjung," katanya.

Ridzuan berkata demikian selepas bersama-sama meninjau sebuah ladang ternakan ayam di lokasi berhampiran bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Razman Zakaria.

Menurut Ridzuan, masalah lalat ini juga pernah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk kampung mengalami cirit birit.

"Kami berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu ini segera.

"Paling tidak pun, pihak berkaitan dapat menutup sementara ladang terbuka ini sehinggalah ia diubah kepada reban bertutup.

"Kasihan orang kampung, setiap hari hadapi masalah sama dan umpama tiada kesudahan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Mat Yusof, 60, berkata, mereka sudah lali dengan masalah lalat.

"Setiap hari, makanan dan minuman sentiasa perlu ditutup rapi. Jika tidak, ia pasti jadi 'lubuk' lalat.

"Perkara yang menjadi persoalan penduduk bukan setakat masalah lalat dan ladang terbuka itu malah kedudukannya yang begitu hampir dengan jalan raya serta kediaman penduduk," katanya.

Sementara itu, Razman berkata, pihaknya difahamkan pengusaha ladang dikenakan kompaun RM2,000 pada tahun lalu kerana membenarkan pembiakan larva.

Tambahnya, kerajaan negeri mengambil berat aduan rakyat dan untuk jangka masa pendek, pihaknya akan mengarahkan pihak berkaitan supaya meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan berdasarkan enakmen sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 2:05 PM