Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Pergerakan Wanita Umno berharap trend mencalonkan wanita untuk mewakili parti dalam pilihan raya akan berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, harapan itu dilontar bersandarkan kejayaan yang diperoleh calon wanita dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dengan terbaharu di Johor.

Menurutnya, amanah yang diberikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kepada calon wanita sudah terbukti berjaya digalas dengan cemerlang.

"Kita sudah buktikan (menang dalam PRN) dan apabila diberikan amanah, calon wanita mampu memberikan kemenangan kepada Umno dan BN.

"Kemenangan ini tidak akan melalaikan kita, malah ini sebagai pembakar semangat untuk tambah baik dan perhebatkan gerak kerja," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

NORAINI (tengah) berucap ketika persidangan Wanita UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Hairil Anuar Rahim
NORAINI (tengah) berucap ketika persidangan Wanita UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Hairil Anuar Rahim

Dalam pada itu, Noraini juga menggariskan lima teras utama untuk Wanita Umno bersedia menghadapi PRU-15 tidak lama lagi.

Beliau berkata, teras berkenaan diterjemah sebagai 'Power' iaitu plan (rancang), organise (susun), wellbeing (sejahtera), educate (mendidik) dan ready (sedia).

"Satu perancangan yang teliti dan berstruktur merangkumi segala aspek dibuat, dari segi jenteranya, gerak kerjanya, kajian sikapnya, program santuni masyarakat yang memberi impak sokongan dan kerja lapangan bagi menghadapi PRU-15.

"Laksanakan program yang memberi impak positif kepada sokongan parti selain latihan pilihan raya perlu dibuat segera, masyarakat terus disantuni, para pengundi terutamanya pengundi baharu, pengundi muda terus didekati.

"Wanita Umno harus mewujudkan satu suasana yang harmoni dan sejahtera bukan sahaja dalam kalangan jentera, tetapi juga masyarakat," katanya.

Tambahnya, masyarakat juga perlu dididik agar sebuah kerajaan stabil dan kukuh perlu diberikan mandat untuk mentadbir negara.

Beliau juga mahu ahli Wanita Umno sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pilihan raya pada bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 12:54 PM