AHLI perwakilan Umno yang hadir pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 hari ini. FOTO Bernama
AHLI perwakilan Umno yang hadir pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 hari ini. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pergerakan Wanita Umno menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu sudah tentu memberi pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu.

"Namun Wanita Umno berpandangan, kita harus terus bersama dengan keputusan yang dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti.

"Umno harus memikirkan kelangsungan parti demi mempertahan agenda Melayu Islam di negara ini. Sebagai parti keramat orang Melayu, kita mempunyai satu tanggungjawab yang besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara," katanya dalam Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Wanita sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau meminta kepimpinan parti mempertimbangkan calon dalam kalangan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus pada PRU-15.

Beliau berkata, Wanita Umno didukung oleh ahli berdaftar seramai 1.3 juta orang dan ia jumlah besar untuk menggerunkan lawan.

"Perjuangan Wanita Umno diibaratkan seperti berlian yang terbentuk dari proses tekanan yang tinggi... Dalam setiap kejayaan pemimpin Umno hari ini dan dulu, tangan wanita yang mengukuhkan perjuangan dari bilik mesyuarat membawa ke merayu undi di bawah terik matahari.

"Kita tidak minta harta benda dan pujian. Apa yang kita nak agenda 30 peratus wanita dalam politik ini dilaksanakan.

"Wanita ini setia, susah untuk lompat parti, yang melompat majoritinya lelaki. Saya minta sangatlah kepada presiden parti, tengok-tengoklah wanita ini," katanya.

Noraini berkata, Wanita Umno adalah tunjang parti keramat itu dan akan terus bersama dengan parti serta kepimpinannya.

Katanya, Wanita Umno perlu sentiasa meningkatkan keberkesanan program khususnya Jalinan Rakyat (JR) dan Skuad Sayang 3K yang menjadi platform utama menghadapi PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 12:27 PM