Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Jabatan Penjara menghadapi situasi kesesakan banduan susulan jumlah pesalah ditempatkan di semua penjara seluruh negara setakat ini melebihi kapasiti ditetapkan.

Namun, keadaan di semua penjara pada ketika ini masih terkawal walaupun berlaku kesesakan dengan lebihan banduan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, terdapat 70,000 banduan ditempatkan di 40 penjara dan 10 penjara satelit di seluruh negara.

Beliau berkata, kapasiti sebenar bagi 50 penjara termasuk penjara statelit itu hanya 62,000 banduan, sekali gus menunjukkan terdapat lebihan 8,000 penghuni ketika ini.

"Setakat ini, Penjara Kajang dan Sungai Buloh merekodkan jumlah banduan tertinggi iaitu masing-masing menempatkan 6,000 banduan.

"Kapasiti sebenar Penjara Kajang hanya 3,500 manakala Penjara Sungai Buloh 3,000, namun ketika ini, jumlah banduan adalah dua kali ganda di penjara itu.

"Bagi Penjara Reman Pulau Pinang, terdapat lebihan 800 banduan berbanding kapasiti 1,100 manakala Penjara Seberang Perai pula, kapasiti hanya 1,500 tetapi jumlah banduan ketika ini ialah 1,900," katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zulkifli Abdul Manah dilantik sebagai Pengarah Penjara Pulau Pinang baharu menggantikan Roslan Mohamed yang ditukar ke Melaka sebagai pengarah penjara negeri.

Ibrisam berkata, sebagai langkah menangani isu kesesakan banduan, pihaknya melaksanakan program pemulihan di luar tembok penjara bersama komuniti seperti sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Program Reintegrasi Penghuni (PRP).

Beliau berkata, program pemulihan komuniti itu ibarat sinar dan terbukti memberi impak besar terhadap pemulihan ODP dengan program membabitkan kerjasama pihak swasta menerusi Corporate Smart Internship (CSI) bagi Orang Di Parol (ODP).

"Sistem ini membolehkan banduan menghabiskan baki hukuman di luar penjara, jadi memudahkan mereka mendekatkan diri dengan keluarga serta masyarakat.

"Ia membantu menjimatkan kos kerajaan apabila banduan yang menjalani parol tidak lagi tinggal di dalam penjara malah pelaksanaan sistem ini berkesan apabila kadar jenayah berulang ODP adalah di bawah 0.44 peratus berbanding banduan penjara sebanyak 13 peratus,".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 7:38 PM