PENJARA Sungai Buloh. FOTO Khairull Azry Bidin
PENJARA Sungai Buloh. FOTO Khairull Azry Bidin
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) sedang mengkaji penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD) kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelak ditahan di penjara.

JPM dalam kenyataannya memaklumkan, ia antara usaha bagi mengurangkan kesesakan di seluruh penjara dalam negara, terutama Penjara Sungai Buloh.

Menurutnya, langkah itu antara usaha Reformasi Penjara sedang dilaksanakan JPM bagi menyelesaikan masalah kesesakan itu.

"Antara lain, pemasangan katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel dan dormitori penjara dan bekerjasama dengan mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan.

"JPM memfokuskan program pemulihan dalam komuniti yang ketika ini membabitkan seramai 82,487 banduan dengan kadar residivis 0.24 peratus.

"Program pemulihan dalam komuniti itu turut membabitkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, JPM berkata, pihaknya juga menggunakan bekas tapak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit.

Melalui langkah diambil, katanya, masalah kesesakan dialami Penjara Sungai Buloh sudah dapat dikurangkan.

"Peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4,200 banduan, iaitu tambahan 20 peratus daripada kapasiti sedia ada," katanya.

Katanya, langkah mengurangkan kesesakan itu akan diteruskan melalui kerjasama pelbagai agensi yang turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah banduan reman.

Terdahulu, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, Penjara Sungai Buloh semakin sesak, apabila penempatan banduan melebihi 2,000 orang daripada kapasiti ditetapkan.

Beliau dipetik berkata, kesesakan penjara itu adalah amat membimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 2:41 PM