Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Penerima vaksin jenis Sinovac tetap perlu mendapatkan suntikan penggalak masing-masing untuk mendapatkan status lengkap vaksin sebelum 1 Mac depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima apa sahaja pandangan yang diberikan pelbagai pihak berkaitan perkara berkenaan.

"Tidak mengapa, itu adalah pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kita ambil maklum," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini, hari ini.

Kelmarin, Presiden MMA, Dr. Koh Kar Chai berkata, persatuan berkenaan berpandangan mereka yang telah mengambil dua dos suntikan vaksin Sinovac masih dikategorikan sebagai lengkap divaksinasi.

Menjelaskan lanjut, Khairy berkata, beliau mengakui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada paksaan bagi ibu bapa mengambil vaksin kepada anak-anak mereka termasuk kepada golongan dewasa.

"Apa PM kata memang betul. Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) atau mana-mana vaksin tidak pernah diwajibkan cuma bagi orang dewasa kalau tidak dapat vaksin penuh akan ada beberapa kemudahan tak dapat dilakukan atau tak boleh pergi tempat tertentu misalnya.

Khairy ketika sidang media selepas meninjau Klinik Kurnia (PeKa B40) di No 36, Jalan Orchard Heights  1, Taman Orchard Height, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Khairy ketika sidang media selepas meninjau Klinik Kurnia (PeKa B40) di No 36, Jalan Orchard Heights 1, Taman Orchard Height, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Kaedah berkenaan bukan di Malaysia sahaja, di negara lain kalau nak melancong juga ada yang letak syarat vaksin dan sebagainya. Kita bukan satu-satu negara yang bagi kebebasan kepada mereka yang divaksin penuh.

"Untuk kanak-kanak dan remaja kita tiada apa-apa syarat, contoh kalau dewasa nak pergi kedai makan mesti vaksin penuh tetapi kalau anak dia remaja atau kanak-kanak tak perlu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, masih belum ada sebarang syor dan cadangan daripada kumpulan pakar bagi proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

"Kita ada kumpulan kerja teknikal yang sentiasa beri nasihat tentang kesesuaian vaksin dan jenis-jenis vaksin yang guna di Malaysia.

"Terdapat dua proses iaitu kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan pandangan kumpulan pakar.

Kumpulan pakar sedang memperhalusi data untuk vaksin bagi kanak-kanak bawah lima tahun dan belum ada apa-apa syor lagi kepada kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 8:17 PM