Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Operasi hari keempat bagi mencari dua mangsa yang tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai masih diteruskan hari ini.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, operasi mencari dua mangsa itu diteruskan pada 9 pagi tadi.

Katanya, operasi diteruskan dengan kekuatan seramai 63 anggota keselamatan terdiri daripada pihak bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dan dibantu Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pelbagai agensi lain.

"Operasi hari ini masih tertumpu dalam mengalihkan bongkah batu besar dengan menitik beratkan faktor keselamatan risiko batu gelongsor dan faktor cuaca.

"Kali terakhir direkodkan terdapat batu gelongsor pada 4 pagi semalam berskala kecil," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aidil Adlee berkata, pengoperasian hari ini juga akan dilakukan secara berterusan berikutan cuaca yang baik.

Menurutnya, tiada tanda-tanda gelongsoran batu dari struktur bukit yang ditanda oleh pihak JMG sebagai struktur lemah.

"Pasukan bomba akan mengatur gerak unit pengesan K9 bagi mengesan atau mengenalpasti kedudukan tepat mangsa terperangkap.

"Pasukan bersedia dan pemantauan oleh Pasukan Khas Bomba Unit Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan Smart dibantu jentera berat akan melakukan kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mangsa sekiranya lokasi dikenal pasti," katanya.

Semalam media melaporkan, operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini tidak dapat diteruskan berikutan berlaku gegaran dan runtuhan tanah kecil di sekitar lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 1:10 PM