ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP menunjukkan produk yang disita kerana menggunakan perakuan halal JAKIM tanpa kebenaran pihak JHEAINS. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP menunjukkan produk yang disita kerana menggunakan perakuan halal JAKIM tanpa kebenaran pihak JHEAINS. FOTO Ihsan KPDNHEP
Ahmad Hasbi

Seremban: Sengaja guna logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak sah pada produk ayam dan burung puyuh sejuk beku dipasarkan.

Itu tindakan pengusaha sebuah premis di Taman Negeri, Jalan Seremban - Port Dickson, di sini, yang diserbu pihak berkuasa jam 10.30 pagi tadi.

Dalam serbuan itu, empat Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan bersama lima pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terbabit dalam pemeriksaan mengejut itu.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Air Arjuna Aziz Zaman berkata, tindakan itu hasil daripada pemantauan dan perkongsian maklumat antara pihak KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS.

"Premis itu melakukan perusahaan memproses ayam dan burung puyuh sejuk beku serta dimiliki oleh seorang warganegara tempatan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dimiliki perniagaan ini tamat tempoh pada September 2021. Namun, logo halal JAKIM masih digunakan pada paket pembungkusan produk keluaran perniagaan ini," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 14 paket ayam dan 44 paket burung puyuh sejuk beku keluaran syarikat itu disyaki menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada berkuasa disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 1,540.

"Kesemua barangan itu disita mengikut Peraturan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:03 PM