PEGAWAI JHEAINS bersama KPDNHEP Negeri Sembilan menjalankan operasi terhadap cubaan premis yang menyalahgunakan kebenaran penggunaan sijil dan logo halal. FOTO Ihsan JHEAINS
PEGAWAI JHEAINS bersama KPDNHEP Negeri Sembilan menjalankan operasi terhadap cubaan premis yang menyalahgunakan kebenaran penggunaan sijil dan logo halal. FOTO Ihsan JHEAINS
Mohd Amin Jalil

Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengesan sekitar 20 premis perniagaan di negeri itu menggunakan sijil dan logo halal tanpa kebenaran.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, ia dikesan hasil operasi bersepadu jabatan itu dengan beberapa agensi lain.

Katanya, antara premis yang melakukan kesalahan perakuan atau penandaan halal adalah kilang makanan, premis makanan, pasar raya dan kedai runcit.

"Kita sentiasa menjalankan operasi yang membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan.

"Tindakan itu bagi memastikan pihak industri tidak menyalahgunakan logo halal atau apa-apa perakuan, penandaan halal.

"Sepanjang tahun lalu, JHEAINS menjalankan lapan operasi bersepadu, manakala setakat Februari ini, sembilan operasi dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesalahan membabitkan penggunaan logo halal palsu, mempamerkan logo halal dan sijil halal syarikat lain tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mohd Zaidi berkata, kes terbabit disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan & Penandaan Halal) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya.

Menurutnya, pihak industri perlu berhenti mengelirukan pengguna dengan sijil dan logo halal tanpa kebenaran bagi melariskan jualan mereka.

"Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana premis yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

"Orang awam juga dinasihat memilih premis yang ada sijil dibenarkan selain memilih produk ada sijil halal sah dengan melayari www.halal.gov.my untuk mengetahui status halal sesebuah premis atau produk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 8:32 PM