Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sekitar 3 petang hari ini. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sekitar 3 petang hari ini. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Dianggarkan lebih 50 rumah terkesan susulan beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir kilat selepas hujan lebat yang turun sekitar 3 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, setakat ini tiada pemindahan penduduk dilakukan dan beberapa kawasan yang dinaiki sudah mulai surut.

"Antara kawasan yang terjejas setakat ini adalah Kampung Gombak, Kuang, Kampung Melayu Sungai Buloh, Kampung Melayu Kundang (Batu Arang) dan Kampung Melayu Sungai Serai (Batu Arang).

"Turut terjejas banjir kilat adalah beberapa kawasan di Kapar iaitu pekan Kapar, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Teratai, Taman Meru Daya, Jalan Sesenduk Meru, Jalan Cempaka dan Jalan Paip.

"Dianggarkan lebih 50 rumah terjejas bagaimanapun tiada pemindahan penduduk dilakukan setakat ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa video mengenai banjir kilat akibat hujan lebat tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:06 PM