WEE Kang Siong.
WEE Kang Siong.
BERNAMA

Putrajaya: Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) baharu ke Thailand dan Kemboja akan mula beroperasi mulai 15 Mac sebagai sebahagian daripada usaha bersama ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengembara yang sudah divaksin sepenuhnya akan dibenarkan melalui laluan itu, tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

"Laluan VTL baharu ini dijangka dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wee berkata, bagi Thailand, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phuket.

Bagi Kemboja, beliau berkata, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua (2) penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh.

Wee berkata, laluan baharu untuk kedua-dua negara boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran.

Laluan VTL ini akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat dan pengembara diingatkan supaya mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL itu.

Wee berkata, kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 12:48 PM