Tambak Johor. FOTO ARKIB NSTP
Tambak Johor. FOTO ARKIB NSTP
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kerajaan Malaysia akur dengan keputusan Singapura mengenai pengurangan 50 peratus kapasiti bas dan penerbangan menerusi program Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kapasiti yang ditetapkan ketika ini bukan keputusan Malaysia, namun melalui rundingan Singapura dan pihak berkuasa berkaitan terutama Kementerian Kesihatan daripada kedua-dua negara.

"Kerajaan Malaysia bagaimanapun tidak menolak jika Singapura bersetuju menambah jumlah kuota itu kerana memahami keperluan pengembara terutama tibanya musim perayaan.

"Segala keputusan diserahkan kepada agensi kesihatan untuk menentukan sama ada kapasiti semasa perlu ditambah atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Khairil Anwar Abu Kasim; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Mohd Haniff Ahmad.

Wee berkata, pihaknya menerima ribuan permintaan daripada pelbagai pihak mengenai penambahan jumlah kuota berkenaan dan kerajaan akan berusaha untuk merealisasikannya.

"Sebagai kerajaan kita perlu melihat persetujuan bersama antara kedua-dua negara dan bukan soal siapa tak mahu memperjuangkan perkara berkenaan," katanya sambil menambah semua pengembara diingatkan supaya memohon permit sebelum dan selepas membeli tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 1:47 PM