KAPAL melalui Selat Melaka di Pelabuhan Barat Klang. FOTO Arkib NSTP.
KAPAL melalui Selat Melaka di Pelabuhan Barat Klang. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Kru kapal warga asing dari pelabuhan India yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tidak dibenarkan sign off atau turun dari kapal sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12 Mei hingga 7 Jun bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengecualian hanya diberikan kepada warganegara Malaysia yang wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditentukan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil maklum keprihatinan orang ramai berhubung SOP bagi aktiviti perkapalan di pelabuhan.

Wee berkata, pada 26 April, beliau mempengerusikan persidangan televideo bersama Jabatan Laut (JLM) dan pelbagai pihak berkuasa pelabuhan di bawah MOT untuk menyampaikan strategi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah wabak varian yang berasal dari India daripada memasuki Malaysia, yang dikuatkuasakan mulai 28 April lalu.

"JLM juga akan saling berkomunikasi dengan semua pihak berkuasa pelabuhan yang berkaitan mengenai SOP serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua kapal yang beroperasi di Malaysia.

"Mereka akan saling bekerjasama berhubung aktiviti pertukaran anak kapal, larangan beroperasi dan aktiviti lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wee berkata, SOP yang ditetapkan oleh KKM dan MKN bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 di pelabuhan seluruh negara juga adalah termasuk kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala Covid-19 perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentasi Deklarasi Kesihatan Maritim oleh pihak KKM.

Katanya, semua pekerja di dermaga perlu menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang diluluskan oleh KKM seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal.

Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga tidak dibenarkan memasuki kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tanpa kelulusan KKM.

Selain itu semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan oleh pekerja pelabuhan (seperti pekerja pengikat tali dan pemunggah kargo) tanpa sebarang interaksi dengan anak-anak kapal.

Setiap pengemudi kapal yang menjalankan operasi atau merapat ke dermaga dikehendaki mematuhi SOP ketat yang ditetapkan KKM termasuk memakai PPE dan pelitup muka.

Wee berkata, pengendalian kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan bersandarkan kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM serta mengikut prosedur operasi dan kebenaran oleh JLM termasuk pihak berkuasa di pelabuhan yang berkenaan.

Wee berkata, MOT akan terus memastikan segala SOP pencegahan Covid-19 yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi tanpa kompromi serta mengetatkan lagi SOP dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan.

"Kami juga komited melakukan penambahbaikan dalam misi MOT untuk memelihara keselamatan serta kelestarian di sektor pengangkutan dan logistik negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 2:11 PM