MISI penghantaran bantuan makanan untuk mangsa banjir hasil kerjasama FGV dan MCM.
MISI penghantaran bantuan makanan untuk mangsa banjir hasil kerjasama FGV dan MCM.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Nasib malang menimpa puluhan ribu mangsa banjir di Pantai Timur turut mendapat perhatian pelbagai syarikat tempatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang segera menghantar bantuan kecemasan kepada mangsa.

Terbaru Misi Bantuan Banjir anjuran FGV Holdings Bhd (FGV) dengan kerjasama pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) diadakan melalui penghantaran pelbagai makanan dan keperluan menggunakan lori.

Majlis pelepasan misi berkenaan dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Products, Shammim Azad Kamruzaman bersama Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan serta sukarelawan MCM di ibu pejabat Wisma FGV di sini, semalam.

Melalui misi itu, MCM akan menyerahkan barangan pek prihatin kepada lebih 1,000 keluarga mangsa banjir di lokasi terjejas.

Pemberian pek prihatin itu membabitkan sumbangan minyak masak, beras, tin susu, pek santan dan pelbagai makanan kering lain.

Difahamkan lori membawa semua makanan kering itu akan dibantu anggota sukarelawan MCM yang menaiki tujuh pacuan empat roda bagi membolehkan sumbangan diagihkan kepada mangsa di Besut, Setiu, Ajil, Kuala Berang, Kemaman, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Zulkifli berkata, sebanyak 10 tan makanan diagihkan kepada mangsa banjir termasuk barangan sumbangan MCM dianggarkan kesemuanya bernilai RM100,000.

Menurutnya, usaha MCM turut tertumpu di kawasan Rantau Panjang, Kelantan berikutan 90 peratus penghuni rumah di Rantau Panjang menjadi mangsa banjir.

Pihak MCM turut dilengkapi tiga bot hasil kerjasama dengan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 9:40 AM