JENTERA jengkaut digunakan Muslim Care Malaysia (MCM) sejak sembilan hari lalu bagi membantu mangsa banjir di Hulu Langat.
JENTERA jengkaut digunakan Muslim Care Malaysia (MCM) sejak sembilan hari lalu bagi membantu mangsa banjir di Hulu Langat.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Tidak hanya terhad bantuan dalam bentuk makanan dan keperluan asas, malah pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) turut memberi sumbangan khidmat jengkaut dan jentolak bagi membersihkan sisa banjir.

Pendekatan diambil MCM dengan menyewa jentolak, jengkaut dan lori sampah itu bertujuan mempercepatkan usaha pembersihan sisa banjir di Dusun Tua dan Desa Nanding, Hulu Langat sejak 20 Disember lalu

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, berkata, MCM turut mendapat sokongan beberapa pemilik jentera berat yang sanggup 'turun padang' secara sukarela untuk membantu MCM.

Menurutnya, MCM kini menyediakan dua jentolak, dua jengkaut dan satu lori sampah untuk menyempurnakan kerja pembersihan sisa banjir sejak sembilan hari lalu.

"Setakat ini MCM memperuntukkan RM500,000 dan 200 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa negeri.

"Walaupun usaha memberi bantuan kepada mangsa menuntut usaha dan komitmen luar biasa namun sukarelawan MCM bekerja siang dan malam bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan kritikal di empat negeri iaitu Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu.

"Sebanyak 50 pacuan empat roda, satu van yang dijadikan klinik bergerak, satu lori dan empat bot turut digerakkan untuk tujuan itu.

"Selain itu, kami juga membekalkan kira-kira 500,000 liter air bersih melalui lori tangki dan dua mesin khas untuk memproses air sungai bagi kegunaan 2,500 keluarga di sekitar Dusun tua yang terputus bekalan air selama tujuh hari," katanya ketika dihubungi tadi.

Zulkifli berkata, barangan yang disumbangkan MCM kepada mangsa banjir termasuk beras sebanyak 2,000 kampit, tilam (1,000), bantal (1,200) serta set kelengkapan solat iaitu telekung, kain pelikat, kain batik dan sajadah (1,000).

Katanya, turut disumbangkan ialah dapur gas (400), gas memasak (250 tong), set tuala, sabun, berus dan ubat gigi (700), lilin dan pemetik api (200 kotak), kit ujian kendiri Covid-19 (2,000), pelitup muka (16,000) dan al-Quran (200).

"Barang makanan yang disumbangkan pula ialah lebih 5,000 pek makanan dimasak, biskut dan roti (700) serta set makanan kering iaitu minyak masak, gula, tepung, susu, sardin, kicap dan teh (600), selain air mineral (15,000 botol)," katanya.

Zulkifli turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada orang ramai, syarikat swasta dan beberapa NGO lain yang turut memberi sumbangan dan bekerjasama dengan MCM dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya, mereka yang terbabit termasuk Yayasan Sultanah Bahiyah, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Kumpulan Perangsang, Integrasi Al Huffaz, Caring Pharmacy dan Sahabat KKZ dari Singapura.

"Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan kepada kami. Tugas sukarelawan MCM membantu mangsa banjir masih berterusan. Oleh itu, sumbangan anda masih diperlukan," katanya.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia (564490413882) dan hantarkan slip sumbangan kepada talian hotline MCM 011-50050035.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:11 PM