Zulkifli Wahijan
Zulkifli Wahijan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Masih belum terlambat, malah sumbangan anda amat diperlukan kerana ini banjir paling buruk dalam sejarah Pakistan. Di banyak kawasan terjejas, air masih belum surut dan jutaan manusia kini menderita."

Itu rayuan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Zulkifli Wahijan kepada rakyat Malaysia untuk terus menyumbang kepada tabung Misi Bantuan Banjir Pakistan yang diusahakan pihaknya khusus untuk membantu mangsa banjir di negara berkenaan.

Beliau berkata, banjir yang mula melanda Pakistan sejak awal Ogos lalu kini sudah berlarutan memasuki bulan kedua, namun masih banyak kawasan yang air masih belum surut.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, jumlah korban bencana yang meliputi satu pertiga Pakistan itu kini mencecah 1,500 orang, kira-kira 33 juta penduduk terjejas, dua juta kediaman dan premis perniagaan musnah, selain 7,000 kilometer jalan raya dan 500 jambatan

rosak.

"Tidak pernah saya melihat 'korban iklim' pada skala sebegini besar," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres ketika melawat kawasan bencana, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, MCM mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta, namun setakat ini jumlah terkumpul sekadar RM300,000.

"Dua wakil MCM termasuk Timbalan Presiden Mohd Johari Ismail akan ke Islamabad selama seminggu bermula hujung bulan ini bagi menyampaikan dan menyelaraskan sumbangan untuk memastikan ia diterima pihak yang memerlukan," katanya.

Menurutnya, antara skop bantuan termasuk menyediakan keperluan ubat-ubatan, khemah sementara, makanan asas dan air bersih.

Beliau berkata, misi kali ini adalah yang kelima bagi MCM membabitkan Pakistan selepas tiga misi ketika kejadian gempa bumi pada 2006 di Balakot dan Kashmir, selain bencana banjir di Multan pada 2014.

Untuk misi kali ini MCM akan berkolaborasi dengan Iman Care, Muslim Volunteer Malaysia, Surau Al Muhsinin KLCC dan Alkhidmat Foundation Pakistan.

Zulkifli berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank MCM (564490413882) dan hantarkan slip pindahan wang kepada Mohd Johari (0169978323) atau 'hotline' MCM (01150050035).

Menurutnya, maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui: https://muslimcaremalaysiasociety.com/ms/kempen/bantuan-kecemasan-banjir....

caption

BANJIR dahsyat yang menenggelamkan satu pertiga Pakistan dan mengakibatkan krisis kemanusiaan terburuk di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 8:10 PM