SUKARELAWAN  ‘Ghirass For Society Development’ menyalurkan sumbangan hasil kutipan Muslim Care Malaysia Society untuk rakyat Lubnan yang terjejas akibat letupan ammonium nitrate.
SUKARELAWAN ‘Ghirass For Society Development’ menyalurkan sumbangan hasil kutipan Muslim Care Malaysia Society untuk rakyat Lubnan yang terjejas akibat letupan ammonium nitrate.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

TERNYATA sifat prihatin dan suka membantu dalam diri umat Islam Malaysia tidak dapat dinafikan.

Ini dibuktikan apabila bantuan kemanusiaan khusus untuk rakyat Lubnan yang terjejas kesan letupan ammonium nitrate di Beirut Selasa lalu, mula diagihkan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) atau MCM, Zulkifli Wahijan berkata, keprihatinan itu dibuktikan sebaik MCM melancarkan 'Tabung Bencana Beirut' bagi mengumpul dana bantuan kecemasan.

"Alhamdulillah, bantuan dikumpulkan Muslim Care Malaysia sudah mula berada di Beirut semalam.

"Misi membantu rakyat Lubnan yang terjejas serta kehilangan tempat tinggal ini dipermudahkan dengan bantuan

rakan strategik Muslim Care Malaysia di Lubnan iaitu 'Ghirass For Society Development'," katanya.

Beliau berkata, wang sumbangan rakyat Malaysia itu disalurkan terus untuk membeli makanan, khemah sementara dan keperluan penting lain khusus untuk mangsa terjejas.

"Petugas 'Ghirass For Society Development' menyediakan pek sumbangan khas bagi memudahkan misi pengagihan. Pihak kami akan berusaha memastikan bantuan ini berterusan.

"Terima kasih rakyat Malaysia yang prihatin dan menyokong kerja amal ini. Moga jariah kita diterima Allah SWT. Sebarang sumbangan atau pertanyaan boleh diajukan kepada Exco MCM, Nur Suryana Mohd Sutarzi di talian 01121941194 atau Ahmad Safuan Ujar di talian 0134886447.

Difahamkan MCM turut menyertai 20 badan bukan kerajaan lain yang bergabung melancarkan misi bantuan untuk membantu rakyat Lubnan melalui `Aid4Lebanon'.

Sehingga kini kejadian letupan ammonium nitrate di Beirut itu sudah mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, manakala ratusan ribu mangsa kehilangan tempat tinggal.

Tragedi itu menambahkan lagi masalah ketika Lubnan sedang berdepan wabak Covid-19 yang meragut 68 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 10:47 PM