PENGUNJUNG yang menggunakan perkhidmatan VTL ke Singapura menunggu untuk berlepas ketika tinjauan di Larkin Sentral. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUNJUNG yang menggunakan perkhidmatan VTL ke Singapura menunggu untuk berlepas ketika tinjauan di Larkin Sentral. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik

Johor Bahru: Memasuki tahun ketiga pandemik Covid-19 melanda, rakyat Johor terutama peniaga kecil dan sederhana serta pengusaha kenderaan sewa yang mata pencariannya bergantung dengan kemasukan rakyat Singapura, merayu pintu sempadan Malaysia dan Singapura dibuka semula sepenuhnya.

Peniaga sayur di Pasar Larkin, Rosdi Abu Bakar, 52, berkata, perniagaan yang diusahakannya sejak 27 tahun lalu merosot lebih 60 peratus sejak sempadan Malaysia-Singapura ditutup, Mac 2020.
"Saya terpaksa menjual kereta selepas RM35,000 wang simpanan habis digunakan untuk tampung bayar komitmen dan modal pusingan.

"Ramai juga rakan peniaga lain gulung tikar. Saya yang masih bertahan ini hanya cukup-cukup makan dan bayar gaji pekerja saja sedangkan hendak bayar komitmen lain memang tidak lepas.

"Walaupun Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dilaksanakan, ia masih tiada banyak perubahan, jadi saya harap sangat sempadan negara dibuka semula, jika tidak terpaksa gulung tikar kerana memang majoriti pelanggan kami dari Singapura," katanya ditemui di Larkin Sentral di sini, semalam.

Pengerusi Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Iskandar Johor Bahru Berhad, Zulkifli Zainudin pula berkata, sejak pintu sempadan ditutup tiga tahun lalu, mereka kehilangan pendapatan kerana hampir 100 peratus mata pencarian mereka bergantung kepada rakyat Singapura yang datang ke negeri ini.

"Sebelum ini, walaupun ada persaingan perkhidmatan e-hailing lain, kami masih boleh bernafas kerana yang datang dari Singapura itu ibarat lubuk rezeki kami, tetapi kalau sempadan tidak dibuka, memang kami di sini hilang punca pendapatan.

"Ia umpama mimpi ngeri yang kami tidak pernah bayangkan, selama berpuluh-puluh tahun memandu teksi, ini yang paling teruk bagi saya.

"Ada dalam kalangan kami terpaksa meminjam daripada along, melakukan sehingga tiga kerja sehari seperti menjadi pengawall keselamatan pada malam dan memandu teksi pada siang," katanya.

Pada masa sama, menurutnya, ada yang terpaksa mengharapkan sokongan kewangan daripada pasangan yang masih bekerja.

Katanya, keputusan kerajaan melaksanakan VTL antara Malaysia dan Singapura sedikit sebanyak memberi sinar, namun mereka tetap mengharapkan pintu sempadan dibuka sepenuhnya.

"Apabila VTL dilaksanakan, memang diakui pemandu dapat bernafas sedikit apabila dapat melakukan tiga hingga lima perjalanan sehari.

"Namun, kami masih berharap kerajaan segera membuka sempadan negara supaya industri ini dapat diselamatkan dan ekonomi rakyat Johor kembali meningkat. Kami tidak tahu sampai bila dapat bertahan dalam keadaan seperti ini," katanya.

Sementara itu, pengusaha kedai pakaian yang hanya mahu dikenali sebagai Ram, 45, berkata, dia masih mampu bertahan namun hanya mengharapkan pelanggan tempatan.

Bagaimanapun, ia tidak serancak seperti ketika rakyat Singapura bebas keluar masuk sebelum Covid-19.

"Apabila sempadan negara ditutup, saya terpaksa tutup sementara kedai kerana jualan tidak laku.

"Walaupun VTL dilaksanakan pada tahun lalu, namun hasil jualan juga kurang memberangsangkan berbanding sebelum pandemik," katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Umno Datuk Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, kerajaan perlu berunding dengan Singapura secara menyeluruh bagi memastikan pembukaan segera tambak Johor dan Lintasan Kedua (Second Link).

Kata Mohamed Khaled, ekonomi Johor akan pulih sepenuhnya jika sempadan Malaysia dan Singapura dibuka kerana negeri ini bergantung kepada aktiviti ekonomi rentas sempadan.

Sebelum ini, kerajaan menjangkakan membuka pintu sempadan negara sepenuhnya pada awal suku kedua 2022 selepas penyediaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat pengumuman rasmi itu tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 1:41 PM