Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura sejak tengah malam tadi turut membawa limpahan rezeki kepada pemandu teksi di bandar raya ini.

Tinjauan di Johor Sentral yang juga pintu keluar masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) mendapati puluhan deretan teksi bertali arus mengambil rakyat Malaysia serta pengembara dari Singapura.

Walaupun beberapa penumpang dilihat menggunakan khidmat e-hailing, namun masih ramai juga yang memilih dan menggunakan khidmat teksi bandar raya.

Beberapa pemandu teksi turut dilihat memujuk pengguna yang baru tiba dari Singapura untuk menggunakan perkhidmatan mereka termasuk menawarkan tambang menggunakan meter sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang baru pulang dari Singapura, Hakim Yusof, 23, berharap pemandu teksi di bandar raya ini terus bersungguh dan jujur dalam menawarkan perkhidmatan mereka.

Katanya, beliau juga tahu pemandu teksi bandar raya ini antara paling terjejas teruk berikutan kehilangan pendapatan akibat sempadan ditutup.

"Alhamdulillah, pemandu teksi sudah kembali menggunakan meter semula berbanding sebelum pandemik ramai yang enggan menggunakan meter.

PEMANDU teksi menunggu penumpang yang tiba dari Singapura selepas sempadan dibuka bermula hari ini di JB Sentral, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PEMANDU teksi menunggu penumpang yang tiba dari Singapura selepas sempadan dibuka bermula hari ini di JB Sentral, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Tadi saya tidak mahu menggunakan teksi, namun apabila pemandu menghampiri dan menyatakan akan menggunakan meter, saya bersetuju menggunakan perkhidmatannya.

"Diharap pemandu teksi bandar raya teruskan budaya menggunakan meter bagi mengembalikan semula keyakinan penumpang, jika tidak makin ramai yang akan memilih perkhidmatan e-hailing," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Koperasi Teksi Bandaraya Johor Bahru, Nor Amali Mohd Salleh, 55, turut menasihatkan pemandu teksi supaya jujur dalam perkhidmatan mereka dan sentiasa menggunakan meter.

Katanya, pengalaman pahit ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sempadan ditutup yang menyebabkan kehilangan pendapatan perlu dijadikan iktibar.

"Inilah masanya kita baiki reputasi dan imej pemandu teksi yang sering dituduh mengenakan caj tidak munasabah dan enggan menggunakan meter.

"Bersyukurlah dengan rezeki pembukaan sempadan yang menyebabkan ramai pengguna memerlukan perkhidmatan awam, jika kita tidak berubah mungkin orang ramai akan beralih ke perkhidmatan lebih mesra pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 11:18 AM