Mohamed Farid Noh


SERAMAI 200 pemandu teksi Johor Bahru-Singapura kini hilang mata pencarian berikutan sempadan negara ditutup sejak lebih lima bulan lalu.

Mereka juga perlu mencari ikhtiar lain termasuk menjual makanan secara kecil-kecilan selain pulang ke kampung halaman dan mengambil upah di kebun bagi meneruskan kehidupan.

Pengerusi Koperasi Teksi Johor Bahru-Singapura, Mohd Rosli Salmin, 56, berkata, seramai 200 pemandu teksi Johor Bahru-Singapura kini terpaksa melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup demi menyara keluarga.

"Hampir semua pemandu teksi Johor Bahru-Singapura berusia 50 tahun ke atas menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan lain sekali gus hilang mata pencarian sejak sempadan ditutup.

"Kami tahu bukan golongan pemandu teksi sahaja terjejas berikutan wabak Covid-19 namun kebanyakan ahli kini seperti hilang punca berikutan tidak mempunyai kemahiran serta alternatif lain.

"Sehingga kini, tujuh pemandu memulangkan kembali teksi mereka kepada koperasi kerana tidak lagi mampu membayar sewa selain perlu mencari ikhtiar lain bagi menyara keluarga.

"Saya jangka tempoh lebih lama sebelum sempadan Johor Bahru-Singapura dapat dibuka kepada awam kerana 17 Ogos ini hanya dibuka secara bersyarat bukan kepada awam sekali gus menyebabkan pemandu teksi ke Singapura akan lebih terhimpit," katanya ketika ditemui di Johor Bahru, hari ini.

HALIM (kiri) dan rakannya menunjukkan tapak tangannya yang berdebu melekat pada teksinya selepas lebih lima bulan tidak beroperasi disebabkan Covid-19. FOTO Zain Ahmed
HALIM (kiri) dan rakannya menunjukkan tapak tangannya yang berdebu melekat pada teksinya selepas lebih lima bulan tidak beroperasi disebabkan Covid-19. FOTO Zain Ahmed

Sementara itu, pemandu teksi Johor Bahru-Singapura, Halim Maskon, 51, berkata, dia kini membantu isteri berniaga makanan di warung di Kampung Melayu Majidee bagi menyara keluarganya.

Katanya, sebelum ini pendapatan pemandu teksi sepertinya adalah antara RM2,700 hingga RM3,000 sebulan, cukup untuk menampung bayaran sewa rumah dan urusan harian.

"Sejak sempadan ditutup, kami semakin terhimpit. Bagaimanapun, bersyukur kerana dapat bantuan kerajaan sebanyak RM600 bagi pemandu teksi selain Bantuan Prihatin Nasional (BPN) walaupun tidak semua layak.

"Kami berharap kerajaan dapat membuka semula bantuan Bantuan GKP secara 'one-off' sebanyak RM3,000 kepada perniagaan mikro Industri Kecil Sederhana (IKS) oleh Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kerana ramai pemandu teksi sepertinya tidak tahu mereka boleh memohon, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 8:22 PM