PEGAWAI dari Malaysia  dan Singapura hari ini melaksanakan latihan (dry run) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ). FOTO ihsan KJ
PEGAWAI dari Malaysia dan Singapura hari ini melaksanakan latihan (dry run) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ). FOTO ihsan KJ
Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pegawai dari Malaysia dan Singapura hari ini, melaksanakan latihan bagi cadangan pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara, 29 November ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan di akaun twitternya hari ini.

"Pegawai dari Malaysia dan Singapura sedang melaksanakan 'dry run' bagi cadangan pembukaan VTL melalui Tambak Johor hari ini.

"Pembukaan sempadan ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat kedua-dua negara. Semoga berjaya," ciapnya.

Ahad lalu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dilaporkan mengumumkan, VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni dilaporkan berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Isnin lalu pula, Hasni dilaporkan berkata, Johor bersedia menerima masuk 1,440 individu pada minggu pertama laluan VTL darat antara Malaysia dan Singapura.

Hasni dilaporkan berkata, Johor sudah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan VTL darat itu dilaksanakan sekali gus sempadan antara Malaysia-Singapura dapat dibuka segera.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dijangka mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini, pada 29 November ini.

Ia dipercayai bagi meninjau kemasukan sulung menerusi VTL darat, selepas hampir 20 bulan sempadan Malaysia-Singapura ditutup sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 5:33 PM