Oleh Hidayatidayu Razali dan Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Kerajaan akan meneruskan memberi bantuan kepada mangsa banjir termasuk pemberian wang ihsan RM1,000 kepada isi rumah yang terjejas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu akan diberikan kepada mangsa yang berdaftar dan mereka yang layak.

"Bantuan untuk isi rumah terhadap kemusnahan yang diumumkan oleh pentadbiran yang lalu kita akan teruskan. Kita akan menggunakan acuan itu.

"Pembayaran itu akan dilakukan dengan segera sebelum banjir surut serta sebelum mangsa pulang ke rumah masing-masing. Ia akan diberikan kepada mangsa banjir yang berdaftar dan layak sahaja.

"Ini berikutan, berdasarkan pengalaman lalu, kita dapati jumlah mangsa yang didaftarkan berbeza dengan permohonan dibuat. Langkah ini akan diatasi dengan segera secara proaktif melalui agensi-agensi pelaksana bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Selain itu, bantuan bagi membaik pulih rumah juga akan diteruskan seperti yang diberi oleh pentadbiran lalu," katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah hadir ke Kelantan untuk lawatan rasmi dan menziarah mangsa banjir yang terjejas.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Bekas Perdana Menteri mengumumkan bantuan sehingga RM10,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan.

Ismail Sabri dipetik berkata, bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah bagi kerosakan akibat bencana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 12:34 PM
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  hadir melawat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir melawat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR