Zaid Salim


Kuala Berang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim terselamat daripada dihanyutkan arus apabila lori dinaikinya terbalik dalam kejadian jam 5.30 petang, hari ini.

Bagaimanapun, Maliaman yang dalam misi menghantar bantuan bekalan makanan kepada penduduk terjejas banjir di sekitar Hulu Berang menggunakan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau yang mengalami kecederaan di kaki diselamatkan bot penyelamat sejurus kejadian sebelum dibawa ke kawasan selamat.

Kenderaan yang turut dinaiki 13 anggota APM dikatakan terbalik selepas dihanyutkan arus deras sebaik tiba berhampiran kawasan Sungai Kampung Lebak, di sini.

Menerusi Facebook (FB) miliknya, beliau melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada penyelamat yang datang menghulurkan bantuan.

LORI APM terbalik selepas dibawa arus banjir di Kampung Padang Ipoh, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori
LORI APM terbalik selepas dibawa arus banjir di Kampung Padang Ipoh, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori

"Allah masih panjangkan usia kami. Saya bersama 13 anggota APM dalam misi menghantar keperluan makanan kepada mangsa di sekitar Hulu Berang.

"Nasib tidak menyebelahi kami kerana kenderaan logistik APM dibawa arus yang cukup deras berhampiran Sungai Kg Lebak.

"Keperluan makanan, pakaian semua dibawa arus yang cukup deras dan kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.

"Saya mohon maaf kerana gagal menghantar keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi.

"Jutaan terima kasih kepada penyelamat yang datang memberi bantuan kepada team kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 7:37 PM