Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 17,507 mangsa banjir daripada 4,477 keluarga masih ditempatkan di 117 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini.

Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 17,742 orang daripada 4,557 keluarga di 141 PPS di lapan daerah pagi tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, 8,316 mangsa daripada 2,126 keluarga masih berada di 28 PPS di Kemaman.

Ia menunjukkan pertambahan berbanding 8,027 mangsa daripada 2,055 keluarga di 27 PPS, 8 pagi tadi.

Jumlah mangsa di Hulu Terengganu juga bertambah kepada 3,706 mangsa daripada 805 keluarga.

Sebelum ini, 801 keluarga membabitkan 3,700 mangsa dipindahkan ke 21 PPS.

Jumlah mangsa di daerah Dungun turut bertambah apabila 29 PPS masih diaktifkan bagi menempatkan 897 keluarga membabitkan 3,106 orang terjejas.

SEKOLAH Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang masih ditenggelami banjir selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu. FOTO Ghazali Kori
SEKOLAH Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang masih ditenggelami banjir selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu. FOTO Ghazali Kori

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Besut menunjukkan penurunan selepasbeberapa mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

Ketika ini, 569 mangsa daripada 151 keluarga berada di 10 PPS berbanding 242 keluarga membabitkan 908 mangsaditempatkan di 26 PPS pagi tadi.

Di Setiu, jumlah mereka yang terjejas turut berkurangan kepada 553 mangsa di 13 PPS sementara di Kuala Terengganu, 184 keluarga membabitkan 709 mangsa berada di sembilan PPS.

Di Kuala Nerus pula, 543 mangsa yang terjejas dipindahkan ke enam PPS manakala di Marang, tiada pertambahan mangsa direkodkan dengan lima beranak berada di sebuah PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 1:12 PM