ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan dengan SUV Proton X70.  FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan dengan SUV Proton X70. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Sebuah kereta Perodua Myvi terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 di Jalan Saujana Impian, di sini, hari ini.

Kejadian itu adalah insiden pertama yang berlaku di lokasi sama kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri kira-kira 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran kereta itu pada 8.33 pagi tadi.

"Seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta Perodua Myvi terbakar dalam kemalangan berkenaan.

"Difahamkan kebakaran itu dipercayai berpunca akibat hentakan daripada pelanggaran Perodua Myvi itu dengan sebuah SUV Proton X70 di lokasi terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran kereta berkenaan.

"Kedua-dua pemandu terbabit masing-masing berusia 30 dan 25 tahun sempat keluar dari kenderaan masing-masing sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan suami isteri meninggal dunia, manakala dua anak mereka cedera selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di lokasi sama, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu van berkenaan berusia 28 tahun yang memandu kenderaan itu dari arah Semenyih menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan.

Menurutnya, van itu kemudian melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Bezza berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 9:01 PM