MANGSA banjir yang masih berada di PPS. FOTO Bernama
MANGSA banjir yang masih berada di PPS. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sejumlah 26,128 mangsa banjir membabitkan 7,383 keluarga masih ditempatkan di 156 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu, setakat 12 tengah hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan memaklumkan, tujuh jajahan di Kelantan terkesan banjir manakala lapan daerah di Terengganu terjejas bencana itu.

"Di Kelantan, 70 PPS dibuka sejak 25 Februari lalu dan berbaki 38 PPS masih aktif. Terdapat 8,606 mangsa daripada 2,896 keluarga berlindung di PPS selebihnya sudah pulang ke rumah

memandangkan keadaan cuaca semakin baik.

"Bagi bacaan paras air sungai, semua sungai di negeri Kelantan menunjukkan penurunan kecuali Sungai Rantau Panjang dan Sungai Kuala Jambu yang masih berada di paras bahaya," kata kenyataan itu.

Menurut Nadma, sejumlah 151 PPS dibuka di Terengganu dengan 118 masih aktif yang menempatkan 17,522 mangsa daripada 4,487 keluarga.

Katanya, cuaca semasa dilaporkan cerah dan diramalkan semakin baik manakala status aras air sungai semasa di Terengganu juga dalam keadaan trend penurunan.

"Kejadian banjir ini adalah episod ke-5 sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022. Walaupun banjir kali ini dilaporkan agak buruk tetapi keadaan adalah terkawal hasil kerjasama baik daripada semua agensi terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Nadma berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang turut melaporkan terdapat dua kejadian banjir kilat berlaku, namun hanya satu PPS dibuka semalaman dan semua mangsa sudah pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya, sehingga pagi tadi, semua bacaan aras air sungai utama di negeri Pahang berada di paras terkawal.

Untuk rekod, lebih 9,000 petugas agensi responder terbabit dalam operasi menyelamat di Kelantan dan Terengganu membabitkan lebih 2,500 aset.

Selain itu, Nadma turut meminta Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk bantuan pam bagi menyegerakan aliran air keluar supaya penduduk dapat segera pulang ke kediaman mereka.

Bagi kawasan terjejas bekalan air akibat banjir, usaha penghantaran air bersih sudah dilakukan manakala pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang dalam usaha memulihkan bekalan elektrik di kawasan terputus bekalan.

Negeri terbabit bencana juga diminta segera menyelaras bantuan pasca banjir termasuk kerja pembersihan dan Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 7:07 PM