Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hari keempat banjir gelombang kelima di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa banjir kini meningkat kepada 13,971 orang.

Setakat jam 4 petang tadi, kesemua mangsa terdiri daripada 3,875 keluarga ditempatkan di 160 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah.

Jumlah mangsa menunjukkan peningkatan berbanding jam 12 tengah hari tadi yang merekodkan seramai 13,530 mangsa daripada 3,757 keluarga dipindahkan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, hanya daerah Marang tidak menunjukkan penambahan mangsa apabila lima beranak daripada sebuah keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS.

Menerusi jumlah itu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila 4,420 mangsa daripada 1,178 keluarga dipindahkan ke 23 PPS diikuti daerah Hulu Terengganu apabila seramai 3,696 mangsa daripada 1,041 keluarga dipindahkan ke 28 PPS.

Seramai 82 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh menaiki trak polis untuk dipindahkan ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru berikutan sekolah itu dinaiki air di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Seramai 82 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh menaiki trak polis untuk dipindahkan ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru berikutan sekolah itu dinaiki air di sini hari ini. FOTO BERNAMA

Di Besut, sebanyak 406 keluarga membabitkan 1,622 keluarga ditempatkan di 35 PPS sekali gus menunjukkan penurunan mangsa berbanding 539 keluarga membabitkan 2,251 mangsa di 45 PPS, jam 2 petang tadi.

Jumlah mangsa di Dungun kini direkodkan seramai 1,999 orang daripada 597 keluarga di 29 PPS manakala 28 PPS dibuka di Setiu bagi menempatkan 401 keluarga membabitkan 1,291 mangsa.

Di Kuala Terengganu, sembilan PPS diaktifkan bagi menempatkan seramai 614 mangsa manakala seramai 324 mangsa dari Kuala Nerus berada di tujuh PPS di daerah berkenaan.

Ketika ini, hujan masih melanda Hulu Terengganu manakala Setiu, Marang dan Besut dilanda hujan renyai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 7:43 PM