Penduduk  berjalan meredah banjir menuju ke Pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu. FOTO GHAZALI KORI
Penduduk berjalan meredah banjir menuju ke Pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Belimbing, Jongok Batu. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 8,808 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 8 pagi, kesemua mangsa daripada 2,402 keluarga itu ditempatkan di 128 PPS di tujuh daerah.

Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu dilanda banjir susulan pembukaan tiga PPS di daerah berkenaan secara berperingkat, sejak malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Hulu Terengganu, mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 3,005 orang daripada 874 keluarga dipindahkan ke 34 PPS.

Ia diikuti daerah Dungun iaitu seramai 1,725 penduduk di 25 PPS.

Di Besut, 24 PPS diaktifkan bagi menempatkan seramai 1,609 penduduk daripada 364 keluarga.

Jumlah mangsa di Setiu juga bertambah kepada 1,432 mangsa yang berlindung di 30 PPS.

Sementara itu, di Kemaman, 964 penduduk dipindahkan ke 10 PPS di daerah berkenaan.

Seramai 48 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Sivik Wakaf Tapai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang di Marang.

Kuala Nerus yang menjadi daerah terbaharu terjejas merekodkan seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga.

Mereka ditempatkan di Surau Kampung Mak Jintan, Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah dan Dewan Serbaguna Seberang Takir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 8:51 AM