LOKASI kemalangan berhampiran Masjid Nurul Huda. FOTO ihsan polis
LOKASI kemalangan berhampiran Masjid Nurul Huda. FOTO ihsan polis
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Lelaki warga emas maut dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika sedang melintas jalan raya menuju ke masjid bagi menunaikan solat Isyak, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 malam itu Jalan Salor Lama itu, mangsa, Che Hamid Mamat, 83, meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Salor berjalan ke Masjid Nurul Huda, tidak jauh dari rumahnya.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa ingin melintas sebelum dirempuh Nissan Frontier dari arah Pasir Mas menuju ke Jalan Salor Lama.

"Akibat jarak yang dekat dan lokasi kemalangan yang gelap, pemandunya gagal mengelak dan melanggar mangsa menyebabkan warga emas itu tercampak.

"Mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan proses bedah siasat akan dijalankan pagi esok.

Menurutnya lagi, pemandu berusia 58 tahun tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 10:04 PM