Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Keputusan Umno mengurangkan kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan parti itu sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dalam parti komponen Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah berkenaan membuktikan BN sangat mementingkan amalan bermusyawarah.

"BN sudah bertapak di Malaysia selama 60 tahun, apabila ada lebih daripada satu parti seperti BN, kena ada istilah tolak ansur. Tak boleh ambil semua pada kita (Umno).

"Bila datang kepada parti seperti ada Umno, MCA dan MIC, jadi kita kena ada sifat tolak ansur," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kesejahteraan Keluarga dan Pembangunan Minda Kesihatan Masyarakat Orang Asli, di Kampung Dalam, Parit Sulong, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Umno menukar calon di dua kerusi membabitkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Balang dan Dun Tanjung Surat, semalam.

Menurutnya, situasi politik di PRN Johor dilihat amat berbeza dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 dahulu.

Semalam, ketika mengumumkan calon di Johor Bahru, Umno membenarkan parti komponennya MCA dan MIC untuk mengekalkan jumlah kerusi sama yang ditandingi pada PRU 2018.

Sementara itu, Umno akan bertanding di dua kerusi tambahan berbanding pada PRU lalu selepas menyerap kuota dua kerusi Gerakan yang bukan lagi sebahagian daripada parti komponen BN.

Mahdzir berkata, Umno, MIC dan MCA masing-masing bersikap bertolak ansur dan akhirnya ada kata sepakat diputuskan semalam.

"Atas sebab itu BN optimis dapat memenangi kerusi pernah kalah pada PRU-14 lalu.

"Kebarangkalian BN untuk menang di tempat yang dijangka tidak menang itu kerana kita yakin dan optimis kita boleh menang.

"Kerana apa yang berlaku di Melaka, di Sarawak, orang pun menjangkakan macam lain, tapi pengundi di luar sana sudah mempunyai keputusan agak luar biasa berbanding 2018," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 4:01 PM