MAHDZIR menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). FOTO BERNAMA
MAHDZIR menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). FOTO BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Barisan Nasional (BN) perlu memuktamadkan senarai calonnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menyerahkan kerusi tertentu kepada parti gabungan (Friends of BN).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata BN yang merangkumi Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dijangka memuktamadkan senarai akhir calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Katanya, hanya selepas semua urusan berkenaan selesai, baharu keputusan sama ada menyerahkan kerusi bagi ditandingi parti gabungan dapat diputuskan dan diluluskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"BN ada empat parti komponen dan kita perlu selesaikan dahulu pembahagian kerusi untuk parti komponen yang dalam proses dimuktamadkan, kemudian baharu kita tentukan kedudukan parti 'Friends of BN' ini.

"Penentuan di mana kerusi parti 'Friends of BN' ini, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diputuskan Pengerusi BN, sebelum penamaan calon 5 November kita boleh tahu keputusannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia (TVET@KPLB) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kali Ke-13, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno memaklumkan, akan mempertimbang memilih calon dalam kalangan parti gabungan bagi bertanding dalam PRU-15 berikutan jasa mereka membantu kemenangan BN dalam siri pilihan raya kecil (PRK) dan negeri.

Antara yang disebut bakal bertanding mewakili parti gabungan adalah penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang dijangka bertanding mewakili BN selepas Parti Bangsa Malaysia (PBM) memohon menjadi parti gabungan.

Mengulas mengenai keyakinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, bahawa gabungan itu bakal menang di 15 kerusi Parlimen di Kedah, beliau berkata, setiap parti perlu berfikir secara munasabah dalam membuat sasaran.

"Saya kenal Mahfuz secara peribadi, kalau ada 16 kerusi Parlimen pun dia akan kata (menang) 16, nasib ada 15 (kerusi Parlimen) sahaja di Kedah dan nasib dia tak terlajak kata 16 (kerusi Parlimen).

"Saya berasakan setiap pihak kena berfikir secara munasabah, saya tak fikir apa yang Mahfuz cakap akan jadi kenyataan. Dia pun main tembak sahaja, jadi tak apa, biarkan dia," katanya.

Semalam, Mahfuz yang juga penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, memaklumkan PH akan meletakkan calon di semua 15 kerusi Parlimen di Kedah dan yakin menang di semua kerusi terbabit pada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 2:30 PM